Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Wanita kelar badan bapa saudara dek cinta 'tomboy'





MERBAU PULAS - Kerana cintanya terhalang, seorang wanita beranak enam, berusia 40 tahun dan bergelar ibu tunggal sanggup mengelar bapa saudaranya sendiri di Pasar Malam Labu Besar, petang kelmarin, apabila ditegur supaya tidak menjalinkan hubungan dengan seorang ‘tomboy’.



Mangsa, Mohamad Noor Aw Din, 41, berkata, sebelum ini dia pernah menegur wanita itu kerana terlalu rapat dengan wanita berperwatakan lelaki sehingga mengakibatkan keretakan rumah tangganya.



Katanya, bagaimanapun teguran itu tidak diendahkan dan kini anak saudaranya itu tinggal bersama kekasihnya selepas bercerai.



“Dia tidak berani menegur saya sebaliknya menyimpan dendam. Saya pernah menasihatkannya jangan terlalu rapat dengan ‘tomboy’ itu kerana dia sudah berkeluarga dan anak-anak sudah berusia belasan tahun. Saya kesal kerana nasihat saya itu langsung tidak dipedulikan.



“Petang kelmarin kira-kira jam 6.30 petang ketika isteri dan anak bongsu saya pergi ke Pasar Malam di Labu Besar, tiba-tiba dia menyerang dan memukul kepala isteri saya dengan topi keledar beberapa kali. Kerana tidak tahan dengan perlakuannya, isteri saya dan beberapa rakan menghubungi saya,” katanya.



Menurut Mohamad Noor, apabila sampai di tempat kejadian, dia bertanya kepada anak saudaranya itu mengapa mencederakan isterinya.



Katanya, anak saudaranya itu kemudiannya mengeluarkan pisau dan mengelar bahagian kiri badannya.



Mohamad Noor mengalami luka sepanjang kira-kira 30.5 sentimeter, bagaimanapun tidak mengendahkan kecederaan dialaminya.



Dia kemudiannya mempertahankan diri dan berlaku pergelutan.



Setelah dileraikan oleh orang ramai, Mohamad Noor kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam lapan malam bersama beberapa saksi sebelum menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim.



Menurut jurucakap polis, suspek ditahan di Balai Polis Kulim dan direman untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment