Search This Blog

Sunday, May 29, 2011

Wanita jatuh dari tingkat 13




PETALING JAYA - Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 13 A Kondominium Tropicana Mall sebelum terhempas ke atas sebuah kereta yang menuju ke dalam parkir kompleks membeli belah di sini semalam.

Difahamkan, wanita itu ditemui dalam keadaan separuh bogel dan hanya berseluar berwarna merah.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun itu terjatuh ke atas sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki sepasang suami isteri warga emas sebelum terjatuh ke atas jalan.

Kejadian itu menyebabkan mereka kebingungan kerana terkejut mendengar bunyi kuat.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, pada mulanya dia menyangka keretanya dilanggar dari belakang.

Bagaimanapun, mereka kehairanan apabila mendapati tiada kereta di belakang.

”Kami keluar dari kereta untuk melihat apa yang berlaku dan alangkah terkejutnya apabila mendapati seorang wanita terbaring di atas jalan.

”Dia terjatuh ke atas bonet belakang kereta sebelum terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Mior Hamdan Mior Mohd berkata, ketika kejadian itu terdapat seorang lelaki yang merupakan pengurus syarikat swasta di dalam rumah tersebut.

Katanya, polis sedang menyiasat hubungan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dengan mangsa.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Menurutnya, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

”Kita menyiasat secara terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan akan merakam percakapan keluarga, pengawal keselamatan serta jiran bagi membantu siasatan.

”Siasatan dijalankan meliputi semua aspek untuk mengetahui sama ada wujud unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.Mior Hamdan berkata, wanita itu dipercayai terjatuh dari tingkap bilik dan mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Menurutnya, pihaknya sedang menanti laporan bedah siasat serta forensik.Sementara itu, difahamkan rumah itu disewa kira-kira tiga bulan lalu.
SH

No comments:

Post a Comment