Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Tidak lena tidur malam



TAMAN PONTIAN UTAMA- Lebih 200 penduduk melahirkan kebimbangan terhadap tahap kualiti air yang dibekalkan, berikutan penemuan mayat di dalam tangki air utama flat, petang kelmarin.

Lebih membimbangkan, mayat yang sudah terendam tiga hari itu mengeluarkan bau busuk dan sepanjang tempoh itu, penduduk sudah menggunakan air dari tangki untuk kegunaan harian seperti biasa.

Seorang penduduk, Mis Anak Paty, 35, berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu sehinggalah mayat dikeluarkan daripada tangki itu petang kelmarin.

“Tidak tidur malam saya dibuatnya bila mengenang kembali air yang digunakan tiga hari lalu. Rasa takut dan seram pun ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Ong berkata, tiada apa yang boleh dilakukan kerana penduduk sudahpun menggunakan air berkenaan, apa yang perlu dilakukan adalah menjaga kesihatan diri.

“Kami tidak sangka langsung kejadian ini akan berlaku, penduduk pun sudah menggunakan air dari tangki berkenaan, jadi kami lebih berhati-hati dalam soal kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Daerah, Kasiman Paiman, ketika ditemui berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan terhadap kualiti air dan sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia Johor Bahru.

Kasiman juga meminta penduduk tidak terlalu panik memandangkan kerja-kerja pembersihan tangki sudah dijalankan.

“Semalam, pekerja yang membersihkan tangki berkenaan, terkejut selepas mendapati air merah, namun itu semua perkara biasa yang terhasil dari paip yang karat,” katanya.

Penduduk juga dinasihatkan tidak menggunakan air dari tangki berkenaan sementara waktu, bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan dan bekalan air dari lori akan dibekalkan kepada pendudukSH

No comments:

Post a Comment