Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Terlepas hukuman penjara kerana muda





GEORGETOWN – Dua remaja lelaki yang didakwa menggunakan dadah jenis kanabis akhirnya terlepas hukuman penjara kerana faktor usia yang masih muda.



Tertuduh pertama, S Saranraj, 23, yang bertongkat dilepaskan kerana peguam belanya, K Kumarathiraviam mendakwa Saranraj tidak langsung terlibat kerana dia hanya datang ke rumah tertuduh kedua, K Dhusyantran, 20.



Kedua-dua tertuduh didakwa kerana menyimpan sejenis dadah berbahaya iaitu dadah jenis kanabis seberat 3.1 gram pada 1 Oktober 2010 di sebuah rumah di Paya Terubong.



Mereka ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (semakan 1980) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 akta yang sama.



Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.



Namun tertuduh pertama kemudiannya terlebih dahulu dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan dan juga hukuman denda.



Kumarathiraviam dalam hujahannya memaklumkan tertuduh kedua hanya perlu dikenakan hukuman yang rendah kerana faktor usia yang muda dan ketika ditahan tertuduh baru sahaja berusia 19 tahun.



Menurutnya, mahkamah hanya mengenakan denda dan hukuman berat kepada pesalah untuk teladan dan bukannya untuk menyusahkan tertuduh.



“Dalam kes ini juga mereka tidak mengedar atau menjual dadah, tetapi ia hanyalah untuk diri sendiri sahaja, kesalahan ini tidak membawa kesan yang buruk kepada masyarakat.



“Tertuduh juga sudah kesal dengan perbuatannya dan tidak lagi akan menggunakan dadah lagi.



“Jadi saya memohon supaya denda daripada RM20,000 direndahkan kepada RM1,000 sahaja,” katanya.



Majistret Adibah Husna Zainal Abidin kemudiannya menjatuhkan hukuman kepada tertuduh kedua dengan denda sebanyak RM1,800 dan sekiranya dalam tempoh dua minggu tidak dibayar, hukuman penjara akan dikenakan.

No comments:

Post a Comment