Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Tergamam diserbu




JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri dan rakannya mengemukakan aduan terhadap Jabatan Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, kerana membuat serbuan tidak berasas serta membawa kesemua 'suspek' termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun ke balai polis, 10 Mei lalu.

Pasangan, Keong Yew Kwong, 47, dan isteri, Tiang King Yen, 41, serta rakannya, Ching Wen Sin, 39, dikatakan sedang bersembang di garaj rumahnya di Permas Jaya sebelum 10 anggota yang dikatakan polis menyerbu rumah mereka.

"Salah seorang daripadanya bertindak memanjat pagar, sebelum kesemuanya masuk selepas pintu pagar dibuka dan kesemua mereka tidak memakai pakaian seragam.

"Seorang daripada mereka menunjukkan kad pengenalan dan mengatakan kepada saya 'mana barang salah', tetapi saya mengatakan kepadanya bahawa kami tidak mempunyai sesuatu yang menyalahi undang-undang.

"Dan setelah memeriksa rumah kami dan tidak menemukan apa-apa, pegawai itu kemudiannya memberitahu, kami perlu dibawa ke Balai Polis Larkin untuk ujian air kencing," katanya pada sidang media, di Kelab Media Cina, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Biro Jenayah MCA Pasir Gudang, Shium Chean Teck.

King Yen berkata, dia terkilan kerana polis berkeras untuk membawa bersama anaknya Venus Keong, 4, ke balai polis walaupun telah memberitahu boleh meninggalkan anaknya kepada pengasuh.

Katanya, setelah hampir dua jam setengah berada di balai tersebut, selepas ujian dijalankan, hanya dia seorang yang didapati positif dadah, namun dia menjelaskan mengambil ubat kerana mengalami demam dan sakit badan.

Manakala Chean Teck pula berkata, walaupun pasangan terbabit sudah membuat aduan kepada polis, namun dia akan membawa permasalahan itu ke pengetahuan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, secepat mungkin.

"Kelakuan ini di luar polisi dan ia tidak dapat diterima dan mereka harus ditegur atas tindakan mereka," katanya.

Sementara itu, Asisten Komisioner, Zainuddin Yaakob yang dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut dan akan mengambil tindakan yang sesuai jika dakwaan berkenaan benar.
SH

No comments:

Post a Comment