Search This Blog

Monday, May 9, 2011

TASKA haram, pengasuh asing jejas 3,000 bayi, kanak-kanak


IPOH: Lebih 3,000 bayi dan kanak-kanak di Perak terdedah kepada risiko keselamatan atau lebih malang kehilangan nyawa kerana dijaga pengusaha dan pengasuh taska haram. 


Berdasarkan maklumat diperoleh Berita Harian, hanya separuh daripada lebih 400 pengusaha taska dan pengasuh kanak-kanak di negeri itu berdaftar dengan Persatuan Taska Perak (PTP), manakala selebihnya secara haram.
Lebih mengejutkan, ada di kalangan pengusaha haram itu beroperasi tanpa menggunakan khidmat penjaga bertauliah, selain premis diduduki tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Dari segi bilangan taska pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak mengakui terdapat 265 taska di negeri itu sehingga Disember tahun lalu, namun hanya 83 premis berdaftar, manakala 182 lagi sudah tamat tempoh perakuan. 

Timbalan Pengarah I JKM negeri, Mohamad Nasir Suratman, berkata kajian pihaknya mendapati berlaku peningkatan jumlah taska tidak berdaftar disebabkan kekangan masa untuk mendapatkan tempoh kelulusan perakuan penubuhan, kurang maklumat membuat permohonan pendaftaran dan masalah keluasan premis digunakan. 

“Tiga agensi utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan akan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan sesebuah premis itu sebelum JKM boleh memberi kelulusan lesen taska. 

"Jika mana-mana di antara agensi itu tidak memperakui kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, taska itu tidak boleh beroperasi. 
"Dalam tempoh tiga tahun ini juga, JKM turut mendapati trend taska tidak berdaftar semakin meningkat dengan jumlah 109 taska pada 2008 kepada 182 pada tahun lalu," katanya kepada Berita Harian. 

Sementara itu, Presiden PTP, Ding Moi King mengakui pihaknya mendapati kebanyakan pengusaha di Perak tidak berdaftar dengan persatuan dan JKM. 

"Ada di kalangan mereka mengambil khidmat warga asing sebagai pengasuh,” katanya. 

1 comment:

  1. Setiap taska wajib menghantar semua pengasuh mengikuti kursus Asas asuhan Kanak-kanak.Ia adalah wajib kepada semua taska.bukan sahaja pengusaha taska itu sendiri yg wajib ada sijil KAAK tetapi semua pengasuh di sesebuah taska dan sekiranya pengasuh tidah mempunyai sijil KAAK lesen tidak dapat di perbaharui...pada saya syarat wajib ini kadang-kadang membebankan pengusaha itu sendiri tiada tertulis di dalam akta wajib semua pengasuh wajib ada sijil KAAK.adakah PTP mengambil kesempatan untuk mengauat keuntungan dalam hal ini..bg pengusaha yg ada sijil KAAk tetapi Pengasuh lain tiada maka pengusaha tersebut tidak dapat memperbaharui lesen belau..cuba pihak terbabit fikirkan bukan semua pengasuh taska berkerja tetap,kebanyakkannya bekerja sambilan sahaja di taska...jd sampai bila masalah ini akan berakhir..jd banyak lah taska haram ..bagi individu yang mengasuh di rumah tanpa sebarang permit sewenang-wenangnya mengaut pendapatan tanpa perlu mengeluarkan modal yg besar...berbaza pula dengan pengusaha taska pelbagai syarat-syarat sampingan yang perlu di patuhi..di harap pihak PTP menilai kembali syarat wajib KAAK kepada semua pengasuh..agar tidak timbul lagi taska haram di negeri perak ini..

    ReplyDelete