Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Syria bedil bandar Homs





AMMAN 11 Mei - Kereta kebal tentera hari ini membedil sebuah kawasan kediaman di Homs, bandar ketiga terbesar di Syria yang telah muncul sebagai pusat pemberontakan utama menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Seorang aktivis hak asasi manusia, Najati Tayara berkata, Homs kini bergegar dengan bunyi letupan daripada tembakan meriam kereta kebal dan mesingan berat di kawasan kediaman Bab Amro.

Assad pada mulanya bertindak balas terhadap tunjuk perasaan yang mencabar pemerintahannya dengan menjanjikan pembaharuan.

Beliau memberi kerakyatan kepada penduduk Kurdis dan bulan lepas memansuhkan perintah darurat yang telah berkuat kuasa selama 48 tahun.

Bagaimanapun beliau juga mengerahkan tentera untuk menghancurkan protes antikerajaan, pada mulanya ke Deraa di mana demonstrasi mula meletus pada 18 Mac lalu dan kemudian ke bandar-bandar lain.

Assad mahu menunjukkan beliau tidak bersedia untuk melepaskan cengkaman keluarganya ke atas Syria sejak 41 tahun lalu.

Seorang sepupu Presiden itu berkata, keluarga Assad tidak akan tunduk kepada tekanan.

"Kami akan tinggal di sini dan menganggap perjuangan ini sebagai perjuangan sampai ke titisan darah terakhir.

"Mereka (penentang) akan tahu bila kami menderita, kerana kalau kami menderita, mereka juga akan menderita, kami tidak akan menderita sendirian," kata Rami Makhlouf, 40-an kepada akhbar New York Times.

Makhlouf, seorang jutawan awal 40-an yang memiliki beberapa monopoli, dan saudara lelakinya yang mengetuai pasukan polis rahsia menjadi sasaran sekatan Amerika Syarikat (AS) sejak 2007 kerana rasuah. - Reuters

No comments:

Post a Comment