Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Sindiket pindah LPG subsidi Johor tumpas

JOHOR BAHRU — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor berjaya menumpaskan kegiatan memindahkan gas subsidi bagi kegunaan domestik kepada industri secara haram dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tiram, di sini, hari ini.
Kilang tersebut dipercayai memindahkan gas asli cecair (LPG) subsidi bagi kegunaan domestik ke dalam tong untuk diedarkan kepada pengusaha industri di sekitar bandar raya itu.
Ketua Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan pada pukul 11 pagi tadi selepas pihaknya menjalankan risikan selama tiga hari ke atas premis tersebut.
Katanya, pihaknya merampas 55 tong gas industri dan 77 tong domestik yang berisi gas manakala 85 tong industri dan 122 tong domestik kosong.
Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kilang itu dijadikan markas memindahkan kandungan gas subsidi dari tong 14 kilogram kepada tong 50 kilogram secara haram.
Katanya, seorang pekerja lelaki warga asing berusia 40 tahun ditahan di premis itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. — Bernama

No comments:

Post a Comment