Search This Blog

Sunday, May 1, 2011

Sikap tamak makan diri



BATU PAHAT – Seorang penjenayah dipercayai warga asing ditembak mati polis, manakala tiga rakannya berjaya meloloskan diri dalam kejadian kes pecah rumah di Jalan Yong Peng berhampiran pekan Parit Yaani, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, seorang suri rumah, Rohayah Othman, 51, sedang memasak di bahagian luar kediamannya dan didatangi empat penyamun yang bersenjatakan parang, pisau dan alat pemotong besi.

Suaminya, Ali Masturi, 56, berkata, empat penjenayah itu bukan saja mengilas tangan isterinya ke belakang dan menekup mulut supaya diam, tetapi turut diacukan senjata tajam di kepala.

Menurutnya, penyamun itu kemudiannya membawa isterinya masuk ke rumah dan menyangka semua penghuni sedang nyenyak tidur, namun sangkaan mereka meleset kerana rata-rata penghuni rumah masih berjaga bagi membuat persiapan bagi kenduri.

“Saya terkejut selepas semua suspek memasuki kediaman dan isteri pula dalam bahaya. Saya cuba melawan namun penjenayah mula bertindak agresif dan mengikat tangan saya menggunakan wayar.

“Penyamun itu kemudiannya menggeledah rumah dan mengambil barangan kemas seperti gelang dan cincin. Namun salah seorang daripada mereka mula berang apabila hasil rompakan tidak memuaskan,” katanya.

Ali berkata, anaknya yang berada di dalam bilik sempat menghubungi polis dan memaklumkan kejadian itu sebelum perompak berkenaan mengarahkan keluar dari biliknya, dan berjanji tidak akan mengapa-apakannya.

“Tidak lama kemudian, tiga daripada perompak berkenaan menyedari kediaman dikepung dan mengarahkan seorang lagi yang masih menyelongkar bilik utama itu supaya segera keluar bimbang akan diberkas pihak berkuasa.

“Akibat rasa tamak, laungan itu tidak diendahkan sebelum tiga lagi rakannya bergegas meninggalkan kediaman itu dan menghilangkan diri. Seorang perompak kemudiannya turut keluar dari rumah itu tetapi panik selepas melihat anggota polis. Dia cuba masuk ke rumah tetapi gagal sebelum cuba melawan,” katanya.

Difahamkan, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 dalam insiden mencemaskan hampir 20 minit itu dan satu laporan polis di Balai Polis Yong Peng kira-kira jam 11.30 pagi.

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon turut berkunjung di kediaman mangsa.

No comments:

Post a Comment