Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Seludup haiwan liar eksotik


Foto
PEGAWAI Jabatan Perhilitan Pulau Pinang merampas 135 tenggiling bernilai RM100,000 di Sungai Dua, Butterworth.
GEORGETOWN: Penyeludupan melalui kawasan hutan paya bakau dan pengisytiharan palsu ke atas barangan yang dibawa melalui lapangan terbang, adalah modus operandi penyeludup membawa keluar haiwan liar eksotik dari negeri ini.

Kegiatan itu meningkat berikutan kemudahan pengangkutan laut, udara dan darat yang serba lengkap serta kedudukan Pulau Pinang yang terletak berhampiran dengan negara jiran, menyebabkan negeri ini dijadikan laluan penting aktiviti penyeludupan haiwan eksotik ke negara serantau.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata daripada maklumat risikan, Pulau Pinang berkemungkinan besar dijadikan utama kegiatan penyeludupan haiwan eksotik.
"Tahun tahun lalu, PERHILITAN Pulau Pinang mencatat 14 kes penyeludupan haiwan eksotik yang kebanyakannya tenggiling dan burung kakak tua yang dilindungi," katanya kepada Berita Harian.

PERHILITAN sukar untuk mengesan aktiviti jenayah itu kerana penyeludup juga melakukan intipan ke atas pihak berkuasa untuk mengelak daripada kegiatan mereka terbongkar.

Kebanyakan penyeludup menggunakan taktik serampang dua mata iaitu mengintip pihak berkuasa sambil menyeludup dan tindakan sedemikian sedikit sebanyak menyukarkan PERHILITAN mengesan.

"Kebanyakan cara penyeludupan di Pulau Pinang yang berjaya dikesan ialah melalui jalan darat dengan menyorok haiwan dilindungi dalam kereta penumpang," katanya.
Jamalun juga mengakui pegawai PERHILITAN negeri sentiasa terdedah kepada ancaman penyeludup terutamanya apabila melakukan operasi dan tangkapan.

Antara ancaman yang penguat kuasa pernah terima ialah ugutan dan tindakan membaling batu, malah anggota sindiket itu juga mungkin bertindak lebih ganas.

"Penguat kuasa PERHILITAN sentiasa berdepan dengan bahaya ketika melakukan operasi, tetapi ia tidak menghalang kami untuk terus melaksanakan pemantauan terhadap kegiatan ini termasuk melayari internet bagi mengesannya," katanya. 

No comments:

Post a Comment