Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Remaja pilih jalan hitam


SEORANG remaja bawah umur ditahan orang ramai ketika cuba mencuri motosikal  di sebuah pasar malam di  Prima Saujana, Kajang, malam Jumaat lalu.
SEORANG remaja bawah umur ditahan orang ramai ketika cuba mencuri motosikal di sebuah pasar malam di Prima Saujana, Kajang, malam Jumaat lalu.
Calon SPM lebih minat curi motosikal akhirnya kena tangkap

KAJANG: Sepatutnya dia menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagi menentukan masa depannya, namun sebaliknya lebih berminat memilih ‘jalan hitam’ dengan terbabit kegiatan curi motosikal.
Remaja berusia 17 tahun itu ditangkap orang awam ketika melakukan kegiatannya di sebuah pasar malam di Prima Saujana di sini pada malam Jumaat lalu sebelum diserahkan kepada polis.
Bukan saja ditangkap, remaja terbabit juga dikatakan dibelasah oleh orang ramai yang marah dengan perbuatan itu sebelum ada pihak mententeramkan keadaan bagi mengelak kejadian lebih buruk.

Melihat remaja itu ditangkap, rakannya yang menunggu dengan motosikal lain dekat situ melarikan diri dan kini sedang diburu polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, remaja terbabit dikatakan cuba menghidupkan enjin motosikal Honda EX5 milik seorang peniaga pasar malam itu tetapi disedari oleh pemiliknya yang segera menjerit meminta tolong.

Beberapa lelaki yang menyaksikan kejadian itu berjaya menahannya lalu membelasahnya beramai-ramai sebelum dihalang beberapa individu.
Pemilik motosikal, Mohd Khairi Abd Hamid, 25, berkata ketika itu, dia sibuk melayan pelanggan apabila ternampak seorang lelaki yang mencurigakan berhampiran motosikalnya.

Dia menjerit menyebabkan remaja itu terkejut dan cuba melarikan diri dan selepas membuat pemeriksaan ke atas motosikal itu mendapati bahagian kuncinya dikopak.

“Bagaimanapun, kami berjaya menangkap suspek yang lari bersembunyi di sebuah bengkel membaiki kereta yang kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Polis yang datang selepas itu menahan remaja terbabit dan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob, ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja terbabit oleh orang awam yang kemudian menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan termasuk menyiasat kemungkinan remaja terbabit juga ada kaitan dengan beberapa kes curi motosikal sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati remaja itu cuba mencuri motosikal sewaktu pemiliknya sibuk menjalankan urusan perniagaan menggunakan sejenis alat bagi membuka kunci motosikal itu,” katanya yang mengesahkan suspek adalah bawah umur.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.
bharian

No comments:

Post a Comment