Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Redah hutan ke air terjun










GAMBAR atas dan bawah menunjukkan penduduk meninjau jambatan  runtuh mengakibatkan jalan  ke kawasan rekreasi Hutan Lipur Taka Melor  terputus.


GAMBAR atas dan bawah menunjukkan penduduk meninjau jambatan runtuh mengakibatkan jalan ke kawasan rekreasi Hutan Lipur Taka Melor terputus.



Jambatan runtuh sejak Februari di laluan utama belum dibaiki



LABIS: Pengunjung Hutan Lipur Taka Melor yang terletak di Kampung Tenang di sini, hampa apabila jambatan yang menghubungkan ke kawasan rekreasi itu runtuh sejak awal Februari lalu, menyebabkan ia tidak dapat dilalui semua kenderaan.

Jambatan terletak kira-kira 500 meter daripada hutan lipur itu laluan tunggal masuk ke kawasan rekreasi yang sentiasa dikunjungi orang ramai termasuk dari luar Labis terutama ketika hujung minggu dan cuti persekolahan.

Difahamkan jambatan konkrit merentasi Sungai Tenang yang menjadi penghubung itu runtuh akibat arus deras ketika banjir teruk melanda kawasan itu kira-kira tiga bulan lalu dan sehingga tiada usaha membaik pulih dijalankan.



Tinjauan Berita Harian mendapati terdapat kesan hakisan di kedua-dua tebing sungai yang menyebabkan keseluruhan jambatan terbabit runtuh dan rosak.



Jambatan yang runtuh itu menyebabkan laluan orang ramai yang hendak ke Hutan Lipur Taka Melor yang terletak kira-kira 5 Kilometer (KM) dari Kampung Tenang itu tersekat dan terpaksa melalui kawasan hutan.



Kira-kira 10 meter daripada jambatan terbabit juga terdapat kesan mendapan yang menyebabkan lebih separuh laluan jalan bertar mendap dan lubang seluas lebih tiga meter dengan kedalaman lebih semeter.

Penduduk Kampung Tenang, Ali Daud, 61, mendakwa ramai yang kecewa apabila mendapati laluan masuk ke kawasan rekreasi itu ditutup kepada semua kenderaan berikutan jambatan runtuh.



Katanya, mereka juga bimbang untuk meninggalkan kenderaan mereka di situ sebelum meneruskan perjalanan secara berjalan kaki, berikutan kawasan itu terletak di tengah hutan dan boleh menjadi sasaran pencuri.



“Selama ini, walaupun terletak agak jauh di dalam hutan dengan laluan tuju yang sempit, namun air terjun itu tetap menarik kunjungan orang ramai termasuk dari luar Labis sehingga ke Singapura berikutan keindahan alam semula jadi dan bersih, menyebabkan ia menjadi tumpuan pada hujung minggu dan cuti sekolah.



“Bagaimanapun, sejak jambatan itu runtuh ia mengecewakan orang ramai yang tidak menyedarinya kerana selepas menempuh perjalanan hampir 5 kilometer dari Kampung Tenang ke kawasan rekreasi itu, mereka terpaksa berpatah balik apabila mendapati jambatan menuju ke hutan lipur itu runtuh dan tidak dapat dilalui," katanya.



Katanya, penduduk berharap jambatan masuk ke hutan lipur itu dibaik pulih dengan segera.

bharian

No comments:

Post a Comment