Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Rampas petrol, diesel



TUMPAT – Kegiatan penyeludupan menjadikan stor haram transit menyeludup petrol dan diesel tumpas, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu stor terbabit dan merampas petrol dan diesel bernilai RM135,000, semalam.

Dalam serbuan di tebing Sungai Golok, Simpangan di sini, kira-kira jam 11 pagi itu, lebih 1,000 liter dan diesel yang dipercayai untuk diseludupkan ke negara jiran dirampas, selepas sepasukan 19 pegawai KPDNKK dari Putrajaya dan negeri ini, diketuai Mohd Hashim Mat Daud membuat intipan selama tiga hari di sempadan Malaysia–Thailand.

Mohd Hashim yang bertugas di Unit Kawalan Bahan Petroleum, Putrajaya berkata, ketika serbuan, pegawai KPDNKK cuba menahan empat lelaki dipercayai pemandu kenderaan yang membawa minyak seludup, tetapi mereka berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke negara jiran.

“Tiga kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat rodayang diubah suai mengangkut bahan bakar milik empat lelaki terbabit disita.

“Kenderaan yang diubah suai ini sering berulang alik mengangkut bahan bakar terbabit dari stesen minyak di Meranti, Pasir Mas serta Wakaf Bharu di sini ke stor terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Hashim berkata, semua kenderaan terbabit mampu mengangkut lebih 300 liter bahan bakar itu dengan menggunakan tangki yang diubah suai sebelum dipunggah ke stor tersebut.

Menurutnya, dalam kawasan stor yang dijadikan transit untuk menyeludup bahan bakar itu di sebuah rumah dan pihaknya menahan pemilik rumah terbabit untuk membantu siasatan.

“Stor ini dijadikan transit, penyeludup dikatakan menggunakan bot untuk membawa bahan bakar ini menyeberangi Sungai Golok ke negara jiran,” katanya.

Difahamkan satu tong yang mengandungi 30 liter petrol dijual dengan harga RM70 kepada pembeli di Thailand.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun untuk individu manakala untuk syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

No comments:

Post a Comment