Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Rakyat Malaysia disoal siasat berhubung penipuan jual beli tanah di India


NEW DELHI: Seorang ahli perniagaan Malaysia disoal siasat oleh penyiasat India kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes penipuan jual beli tanah bernilai berjuta-juta ringgit, yang turut membabitkan ahli politik dari Selatan India.


Akhbar India melaporkan bahawa pada Isnin, Biro Penyiasatan Pusat (CBI) India menyoal siasat ahli perniagaan itu, yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Dravida Munnetra Khazhagam (DMK), M Karunanidhi dan anak perempuannya, K Kanimozhi.
"Rakyat Malaysia ini memainkan peranan penting dalam urusan jual beli tanah seluas 53,000 kaki persegi di Ann Malai Road, Chennai, yang dipajak sebuah syarikat industri terkenal untuk tempoh hampir 30 tahun.
"Beliau dilaporkan berjaya mendapatkan tanah itu daripada pemiliknya sebelum menjualnya kepada sebuah syarikat menjelang berlangsungnya pilihan raya umum (2009)," kata akhbar berkenaan.

CBI sedang menyiasat bagaimana tanah itu boleh dijual kepada ahli perniagaan terbabit pada harga RM17 juta, sedangkan nilai pasaran sebenar ialah hampir RM135 juta dan sama ada ahli politik DMK menggunakan pengaruh mereka untuk mendapatkan keuntungan peribadi dalam urusan jual beli itu.

Media melaporkan bahawa ahli perniagaan berkenaan dan seorang akauntan India yang disyaki memainkan peranan utama dalam kes itu, disoal siasat oleh CBI selama hampir sejam di Delhi.

April lalu, seorang rakyat Malaysia bergelar "Datuk", disoal siasat berhubung skandal berkenaan, yang menggoncang parlimen India selama beberapa bulan berikutan kerugian berbilion dolar yang dialami perbendaharaan India akibat penipuan itu.
Kanimozhi, yang juga seorang wakil rakyat, sedang menghadapi tuduhan di sebuah mahkamah India kerana pembabitannya dalam skandal penipuan pelesenan perkhidmatan telefon bimbit, yang juga dikenali sebagai skandal 2G, dan penjualan tanah berkenaan kerana dana yang diperoleh melalui penjualannya disyaki disalurkan kepada saluran televisyen milik parti yang diwakilinya.

Seorang lagi ahli politik kanan DMK, yang juga bekas Menteri Telekom, A Raja, kini merengkok di Penjara Tihar kerana kesalahan memberi lesen berkenaan kepada syarikat tertentu pada harga yang amat rendah pada 2008. - BERNAMA
Berita Harian

No comments:

Post a Comment