Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

Penuntut kolej swasta mengaku berkhalwat



KAMPUNG RAJA - Penuntut lelaki sebuah kolej swasta di Kemaman terpaksa membayar denda RM2,200 selepas dia mengaku bersalah berkhalwat dengan pasangannya, pelatih jururawat dari sebuah pusat latihan kejururawa-tan swasta di Kota Bharu, Kelantan.

Mahkamah Rendah Syariah di sini turut mengarahkan lelaki berumur 22 tahun dan pasangannya, 21, itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda dikenakan.

Mereka sebelum itu dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut selepas ditangkap di sebuah chalet di Pantai Air Tawar pada 22 Mei tahun lalu pada jam 6.40 petang.

Pasangan berkenaan didakwa di bawah Seksyen 31(a)dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2011 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof membenarkan kedua-dua tertuduh membuat rayuan dan menegur pasangan itu yang melakukan perbuatan tidak bermoral kerana masing-masing berpelajaran.

Sementara itu, tertuduh wanita memberitahu mahkamah dia tidak sempat melakukan apa-apa lagi ketika ditahan dan mereka berdua tidak ada rancangan berkahwin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, satu serbuan telah dilakukan di sebuah chalet di Pantai Tawar oleh sepasukan penguat kuasa.

Penguat kuasa mendapati pintu utama dan tingkap chalet tersebut tertutup rapat dan selepas beberapa minit pintu diketuk, tertuduh lelaki membuka pintu serta hasil pemeriksaan dilakukan mendapati tertuduh wanita berada dalam bilik itu.

Mereka didapati bukan muhrim dan tidak mempunyai hubungan suami isteri. Kedua-dua mereka dari Semerak, Pasir Putih, Kelantan.

No comments:

Post a Comment