Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Penternak buat laporan polis




BAHAU - Susulan tiga ekor lembu dikelar dan dibunuh dengan kejam oleh pihak tidak bertanggungjawab, seorang penternak di Kampung Taman Jaya, di sini membuat laporan polis berikutan bimbang akan keselamatan keluarganya.

K Tamilselvan, 37, berkata, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang 12 tahun dia menternak lembu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, melihat keadaan lembunya yang berlumuran darah dengan kesan kelar dan tikaman di badan itu agak mengerikan malah lembunya turut dibunuh tanpa belas kasihan.

“Saya tidak sanggup melihat keadaannya begitu, pegawai vaterinar daerah datang dan cuba selamatkan kesemua lembu itu, namun tidak berjaya.

“Hendak jahit macam mana lagi, perut sudah terburai dan leher sudah dikelar. Sedih juga tetapi sudah bukan rezeki saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di ladangnya.

Tamilselvan berkata, diharap pihak polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu kerana turut melibatkan keselamatan keluarganya.

“Saya sudah membuat laporan polis di balai berhampiran selepas kejadian itu,” katanya.

Lebih malang lagi, Tamilselvan adalah seorang penternak lembu tenusu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD), Januari lalu.

Katanya, dia terpaksa hadapi masalah itu walaupun penyakit berkenaan meragut nyawa lembunya.
SH

No comments:

Post a Comment