Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

‘Penjara’ OKU


BERSELERAK...kelengkapan makan, minum  dan pakaian penghuni dibiarkan berselerak di atas lantai.
BERSELERAK...kelengkapan makan, minum dan pakaian penghuni dibiarkan berselerak di atas lantai.

IPOH: Sebuah premis dua tingkat di Jalan Lapangan Siber 2, Bandar Siber, Taman Botani ibarat penjara bagi 20 orang kurang upaya (OKU) apabila dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan terbiar.
Premis itu tidak berdaftar sebagai pusat jagaan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun 20 OKU berusia antara 18 hingga 60 tahun ditempatkan di situ.

Nasib malang OKU yang menghuni pusat jagaan haram itu dikesan selepas sepasukan kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta melakukan serbuan pada jam 9 pagi 26 April lalu hasil maklumat orang awam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Chong Phaik Kee berkata, dalam serbuan itu pihaknya menemui penghuni OKU bergelimpangan dalam bangunan yang tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan kediaman selesa.

Lebih mengejutkan, OKU berkenaan juga tidak menerima sebarang rawatan dan terapi sepanjang berada dalam premis berkenaan memandangkan tiada sebarang peralatan terapi ditemui di dalam premis itu.

“Malah, kebanyakan mereka mengalami masalah kesihatan termasuk kecacatan akal dan spastik yang memerlukan rawatan rapi, selain kesukaran bergerak.


“Ketika serbuan dilakukan, premis itu dilengkapi 21 tilam, empat tikar, enam kerusi bersandar, dua mesin basuh dan sebuah meja makan serta diuruskan dua penjaga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati premis berkenaan tiada papan tanda dan pada mulanya, cubaan memasukinya gagal kerana penjaga tidak memberi kerjasama menyebabkan pegawainya memanjat menerusi premis sebelah.
“Kami mendapati, 20 OKU itu ditempatkan di tingkat atas dengan beberapa kelengkapan asas seperti tilam dan kerusi bersandar.

“Ketika serbuan, kami menemui dua lelaki dipercayai penjaga pusat jagaan haram itu, masing-masing berusia 35 tahun dan 60 tahun,” katanya.

Chong berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku kerana pusat jagaan tidak sepatutnya beroperasi di kedai dua tingkat itu atas sebab keselamatan dan kecemasan.

Menurutnya, rumah kedai tidak sesuai dijadikan pusat jagaan kerana ia tidak memenuhi spesifikasi keselamatan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Perancangan Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, tiada sebarang aktiviti pemulihan dan terapi di pusat jagaan haram itu sebaliknya OKU berkenaan terbiar tanpa jagaan sempurna.

“Semua OKU di pusat jagaan haram itu ditempatkan sementara di beberapa pusat jagaan berdaftar di daerah ini, termasuk di Bangunan Persatuan Hock Kean yang lebih lengkap dengan pelbagai kemudahan,” katanya.

Kata Chong, pihaknya menutup pusat jagaan tidak berdaftar itu dan membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat.

“Kami sedang dalam proses menempatkan OKU berkenaan di pusat jagaan berdaftar termasuk di Rumah Kanak-Kanak Cacat Setia dan Yayasan Latihan Insan Istimewa,” katanya.

No comments:

Post a Comment