Search This Blog

Monday, May 9, 2011

‘Penceroboh’ sekolah tumpas



SELENDANG - Sebanyak dua ekor babi hutan berjaya ditembak mati dalam operasi memburu haiwan liar itu di hutan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selendang, di sini, semalam.

Ketua Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Selendang 1, Mat Saad Abdullah berkata, operasi yang bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari itu turut disertai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, operasi itu dilancarkan sebagai usaha memerangi haiwan terbabit yang sering menceroboh masuk ke kawasan SMK Selendang.

“Usaha membunuh babi hutan ini bagi memastikan haiwan liar itu tidak memusnahkan tanaman sawit dan menyelongkar tong sampah yang terdapat di sekolah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Saad berkata, operasi terbabit turut melibatkan lima ekor anjing pengesan yang dibawa khas untuk membantu mengesan haiwan berkenaan.

“Kami terpaksa menggunakan bantuan anjing pengesan bagi menghidu tempat persembunyian babi hutan ini memandangkan ia hidup dalam berkelompok, selain mudah menghidu kehadiran pemburu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran babi hutan di kawasan sekolah sering menjadi rungutan pelajar, guru dan ibu bapa memandangkan kawasan di situ sering menjadi sasaran haiwan terbabit untuk mencari makanan.

“Operasi ini dilakukan bagi memastikan haiwan ini tidak mengancam keselamatan warga sekolah lagi dan kita berharap ia juga dapat mengurangkan aktiviti pencerobohan haiwan berkenaan di kawasan sekolah,” katanya.

Menurutnya, operasi memburu babi hutan itu merupakan kali kedua dijalankan di Felda Selendang selepas operasi yang sama dilakukan di sekitar kebun sawit pada November tahun lalu.

Katanya, kesemua babi hutan yang ditembak mati akan dilupuskan sebelum ditanam di satu lokasi yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment