Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Pemandu, kelindan sempat melarikan diri



SEREMBAN – Kementerian Perdaga-ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan menyita sebuah lori selepas menemui empat tong plastik berisi minyak diesel dipercayai diseleweng secara haram.

Dianggarkan seberat kira-kira 1,500 liter, minyak diesel itu ditemui di dalam lori seberat lima tan dalam operasi khas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, di sini Khamis lalu.

Pemandu lori berusia lingkungan 30-an bersama seorang pekerja asing, bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran sepasukan pegawai dan anggota KPDNKK yang menyerbu kawasan berkenaan, kira-kira 5 petang.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Nor Musa berkata, ketika serbuan dijalankan kedua-dua individu terbabit baru selesai menyedut minyak diesel daripada sebuah lori kargo.

“Namun, mereka sempat melarikan diri selepas kita menyerbu kawasan berkenaan hasil daripada risikan dan maklumat diperolehi berkaitan kegiatan penyelewengan minyak diesel berlaku di kawasan R&R berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati kegiatan berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan lalu dengan menjadikan R&R sebagai ‘port’ memindahkan diesel.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda hingga RM100,000 dan kita sedang mengenal pasti pemilik sebenar lori berkenaan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Nor berkata, pihaknya akan menempatkan penguat kuasa di kawasan R&R berkenaan untuk memantau bagi memastikan aktiviti haram berkenaan dapat dibanteras.

No comments:

Post a Comment