Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Pelajar tingkatan satu diugut tikam





KULIM - Kerana tidak berpuas hati dengan sikap rakan sekelas yang membuat aduan kepada guru atas perlakuan buli sering dilakukannya, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di sini bertindak nekad dan mengugut mangsa untuk dicederakan.

Mangsa ketika membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 petang kelmarin berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi apabila suspek mencederakannya dengan menggunakan tali leher.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perlakuan suspek kemudian memaklumkan kepada guru.

“Setelah membuat aduan, cikgu memanggil suspek dan dimarahi serta dinasihatkan jangan melakukan perbuatan itu lagi. Suspek sering membuli pelajar lain dan kadangkala bertindak ganas. Ketika saya hendak balik ke rumah selepas waktu sekolah, suspek datang kepada saya lalu memukul dan menendang saya.

“Suspek juga mengugut hendak menikam saya dengan pisau. Suspek kemudian mengeluarkan satu objek tajam untuk menikam saya. Bagaimanapun saya berjaya melarikan diri. Saya memaklumkan perkara yang berlaku kepada keluarga saya kerana takut terjadi sebarang kejadian tidak diingini pada masa akan datang. Saya datang ke Balai Polis Kulim bersama bapa untuk membuat laporan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kebanyakan pelajar yang sering menjadi mangsa buli adalah pelajar sekolah menengah antaranya pelajar tingkatan satu, dua dan tiga.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada perlakuan buli adalah berpunca dari rasa tidak puas hati terhadap mangsa.

“Pelajar yang gagal mengawal emosi mereka dengan baik ini biasanya terdapat pada yang hiperaktif atau cergas yang melampau dan sering mengambil sikap tidak mempedulikan perasaan orang lain.

“Selain itu suspek selalunya terdiri dalam kalangan pelajar yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal dan mempunyai masalah disiplin. Kajian juga menunjukkan punca yang menyumbang kepada perlakuan buli adalah latar belakang keluarga yang bermasalah,” katanya.

Selain itu beliau berkata, hukuman seperti merotan dan membuang pelajar terlibat dalam perlakuan buli adalah satu tindakan wajar.

“Guru harus membincangkan mengenai isu buli ini dari masa ke semasa,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment