Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

Pak Sarip kena cekup



SKUDAI - Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor berjaya menumpaskan kegiatan pemalsuan permit kerja jabatan itu, selepas menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah rumah pangsapuri di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah II Jabatan Imigresen Johor, Amzari Abdul Jalil berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, pihaknya turut menahan 18 warga Indonesia yang mendakwa dirinya ditipu oleh lelaki berkenaan.

“Lelaki berkenaan dikenali sebagai Pak Sarip meminta bayaran sebanyak RM900 hingga RM3,000 untuk membuat dokumen palsu terbabit.

“Namun setelah membayar, 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit gagal mendapatkan dokumen daripada lelaki tersebut,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang berumur 60-an itu didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

“Kesemua 18 pendatang asing yang berumur lingkungan 23 hingga 47 tahun itu diserbu di empat bilik berasingan pangsapuri berkenaan. Serbuan disertai 20 anggota itu tidak menghadapi sebarang masalah kerana pihak kami telah mengawal ketat laluan keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, pihaknya menahan empat warga asing di sebuah pusat urut kaki di Taman Sentosa, di sini.

“Dalam Ops Sayang yang bermula kira-kira jam 4 petang itu, dua lelaki warganegara China dan dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana menyalahgunakan pas sosial.

“Keempat-empat lelaki berkenaan berumur 23 hingga 29 tahun ditahan mengikut Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. Turut ditahan majikan kerana menggaji pendatang asing berkenaan,” katanya.

Amzari berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen, Pekan Nenas, Pontian untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment