Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Misteri kehilangan lima nelayan


SABAK BERNAM 8 Mei - Lima nelayan, dua daripadanya warga tempatan dilaporkan hilang dipercayai selepas turun ke laut untuk menangkap ikan di perairan Sungai Besar dekat sini sejak Rabu lalu.

Bagaimanapun, kehilangan mereka mencetuskan misteri apabila hanya bot yang mereka naiki ditemui pemiliknya pada pukul 7 pagi semalam di jeti Kampung Bagan, Sungai Besar.
Beberapa kesan darah turut dikesan pada bahagian dalam dan hujung bot berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, dua nelayan tempatan yang dilaporkan hilang itu ialah tekong bot, Chia Yeow Chian, 41, dan Ismail Rejab, 41, masing-masing berasal dari Kampung Bagan Sungai Besar.
Beliau berkata, tiga lagi nelayan merupakan warga Indonesia berusia antara 30 hingga 35 tahun yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.
"Sebelum kejadian, kesemua mangsa dilaporkan turun ke laut seperti biasa untuk menangkap ikan kira-kira pukul 7 pagi Rabu lalu.
"Kesemua mereka bagaimanapun tidak pulang setelah beberapa hari ke laut sehingga pemilik bot itu yang juga adik tekong terbabit dikenali sebagai Chen menemui bot itu di jeti Kampung Bagan, Sungai Besar.
"Sebaik sahaja menemui kesan darah di bahagian dalam dan hujung bot, Chen cuba mencari abangnya dan Ismail di rumah mereka namun kedua-duanya belum pulang," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Mushar berkata, pada masa sama, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi-agensi berkaitan turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang hilang.
"Kira-kira pukul 5 petang semalam, anggota penyelamat menemui sebuah tilam yang mempunyai kesan darah di permukaan laut dan ia dibawa pulang bagi membantu siasatan kerana kemungkinan mempunyai kaitan dengan kes tersebut," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan di atas bot berkenaan ketika nelayan tersebut berada di tengah laut.
Namun, katanya, polis belum dapat mengesahkan siapa yang menjadi penyerang dan mangsa setakat ini.
"Kita juga masih menyiasat siapa sebenarnya yang membawa pulang bot itu ke jeti. Setakat ini, kes berkenaan disiasat sebagai kes orang hilang sehingga petunjuk baru ditemui," katanya.
bharian

No comments:

Post a Comment