Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Maut rempuh treler rosak



GOMBAK - Seorang kelindan van maut apabila kenderaan dinaikinya merempuh belakang sebuah treler di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) petang semalam.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang di kilometer 5.8 MRR2 arah Sungai Buloh berhampiran susur Kepong.

Menurut sumber polis, treler yang dirempuh mangsa dipercayai mengalami kerosakan dan diletakkan di lorong kecemasan.

“Sebuah van dari arah bulatan Batu Caves dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sisi belakang treler terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan bahagian hadapan van remuk teruk dan sebahagian badan van merintangi jalan,” katanya.

Akibatnya, kelindan van terbabit, G Ganaperakash, 38, berasal dari Kampung Baru Subang, tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu van pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan teruk sepanjang kira-kira tiga kilometer.

No comments:

Post a Comment