Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Mangsa simbah asid trauma keluar rumah



KUALA LUMPUR 9 Mei - Meskipun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian mata akibat disimbah cecair jenis 'thinner' oleh seorang lelaki, seorang ibu yang kini sarat mengandung trauma untuk keluar rumah seorang diri.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yati, 30, masih tidak dapat melupakan kejadian bagaimana suspek yang menaiki motosikal tiba-tiba muncul dari arah belakang dan menyimbah cecair itu mengenai muka dan badannya.
Kejadian itu, menurut Yati, berlaku di hadapan sebuah vila yang disewa keluarganya untuk menjalankan aktiviti riadah di Persiaran Titiwangsa di sini, pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.
"Ketika itu, semua ahli keluarga berkumpul di dalam rumah. Saya keluar sekejap ke tempat letak kereta untuk mengambil lampin pakai buang anak saya.
"Sebaik sahaja saya membuka pintu kereta, datang seorang lelaki bermotosikal dari belakang dan menyimbah cecair itu menyebabkan muka dan badan saya basah.
"Saya kini takut untuk keluar rumah kerana masih terbayang kehadiran lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampang, hari ini.
Yati ialah salah seorang mangsa simbahan cecair dipercayai asid jenis 'thinner' dan 'alkali' yang dilaporkan berlaku di ibu negara sejak kebelakangan ini.
Polis sedang mengesan dua lelaki bermotosikal yang dipercayai menyasarkan golongan wanita di daerah Dang Wangi, Sentul dan Brickfields sebagai mangsa simbahan cecair itu.
Yati memberitahu, simbahan cecair tersebut mengenai bahagian matanya dan amat memedihkan sehingga tidak dapat membukanya.
"Saya menjerit meminta tolong dan segera masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Suaminya yang terkejut melihat keadaannya segera keluar rumah untuk menangkap suspek, bagaimanapun lelaki itu sempat menghilangkan diri.
Katanya, dia dihantar ke Pusat Rawatan Pusrawi sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment