Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Ladang kelapa sawit Che Mod terbakar



BACHOK – Seorang pekebun kecil hanya mampu melihat dari jauh apabila ladang kelapa sawitnya musnah dimamah api dalam satu kebakaran yang berlaku di Beris Lalang, petang kelmarin.

Che Mod Muhammad Nor, 48, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja tiba di ladangnya dan mendapati api telah marak membakar di setiap pelosok ladang anak kelapa sawitnya.

Menurutnya, ia melibatkan keluasan tiga hektar anak kelapa sawit berusia setahun iaitu mempunyai kira-kira 100 anak pokok kelapa sawit.

”Saya hanya terlihat kepulan asap dan api apabila tiba di ladang untuk membuat kerja. Menyedari ia adalah kebakaran besar, saya terus membuat membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba untuk dapatkan bantuan.

“Namun kerugian sebenar sukar ditafsirkan kerana ia anak pokok yang baru berusia setahun tetapi nampaknya saya tidak mempunyai rezeki untuk menikmati sebahagian hasil tuaiannya kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria mengesahkan menerima panggilan tentang kejadian pada jam 1.18 petang dan tiba di tempat kejadian bersama tujuh anggota kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi memadam api mengambil masa agak lama memandangkan kawasan tersebut dipenuhi dengan sisa-sisa buangan yang mudah terbakar.

“Situasi agak rumit memandangkan tanah gambut di sini yang menyimpan bara dari bawah tanah menyebabkan sisa api sukar dipadamkan.

”Sehingga hari ini (semalam) kerja memadam api masih dilakukan dengan bantuan anggota Bomba dari Balai Ketereh, Machang dan Pasir Puteh yang hadir untuk berkampung membantu memadam api. Namun, punca kejadian dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan bahan api dalam cuaca panas sebegini dan mengawal pembakaran terbuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi tidak diingini.

No comments:

Post a Comment