Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Kontraktor hadapi tuduhan kemuka tuntutan palsu RM5,135



JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM5,135 ke Pejabat Kesihatan Kluang berkaitan kerja-kerja mengubah suai lapan kuarters Klinik Kesihatan Renggam, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Taha, 68, yang juga kontraktor kelas F di Syarikat Seri Lukut Enterprise mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Ahmad dituduh mengemukakan pesanan kerajaan bernombor P648 yang mengandungi butiran palsu berkenaan kerja-kerja mengubah suai kuarters dengan membekal dan memasang lantai berjubin dan kerja pengubahsuaian itu tidak pernah diadakan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwa raya yang diwakili oleh Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, tertuduh meminta ikat jaminnya dikurangkan kepada RM2,000 memandangkan dia mengalami pelbagai penyakit dan usianya yang telah lanjut.

Hakim Madihah Hairullah memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 6 Jun depan.

Anak Ahmad Taha membayar wang jaminan itu dan melantik seorang peguam.

No comments:

Post a Comment