Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

Ketua seludup dadah ditahan

MANILA: Seorang warga Nigeria yang dituduh mengetuai sindiket menyeludup dadah dengan menggunakan khidmat keldai dadah rakyat Asia, ditahan di Manila bersama-sama setengah kilogram kokain.
Samuel Egbo, 34, dan rakan wanitanya warga Korea Selatan ditangkap semalam apabila mereka bertemu dengan pegawai Agensi Penguatkuasa Dadah Filipina yang menyamar sebagai pembeli di sebuah restoran McDonald di Manila.

“Dia adalah antara penyelaras utama sindiket itu di rantau Asia Pasifik. Dia yang menemui keldai dadah dan mengatur penginapan mereka,” kata ejen agensi itu, Jonathan Morales.

Egbo berhasrat menjual dadah itu kepada ‘pembeli’ terbabit dengan harga 2.5 juta peso (RM174,000).

Menurut Morales, lelaki Nigeria itu ialah sebahagian daripada anggota kumpulan yang dikenali sebagai Sindiket Dadah Afrika Barat yang dianggotai rakyat negara itu dan berpangkalan di Filipina, China, Singapura, Malaysia dan Australia.

Mereka mengupah rakyat Asia untuk bertindak sebagai keldai dadah dengan bayaran hingga RM9,000 setiap kali mereka membawa dadah dari sebuah negara ke negara lain, kata Morales.


Beliau berkata, Egbo dan sindiketnya mengupah sekurang-kurangnya seorang daripada tiga warga Filipina yang menjalani hukuman mati di China Mac lalu selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba menyeludup heroin ke negara itu pada 2008.

Kes itu meningkatkan pengawasan terhadap penggunaan rakyat Filipina sebagai keldai dadah secara meluas menyebabkan sindiket itu berusaha mencari mangsa dari negara lain.
Menurut Morales, beliau mengesyaki wanita Korea Selatan yang berusia 22 tahun yang dirujuk lelaki itu sebagai ‘teman wanitanya’ juga menjadi keldai dadah sindiket berkenaan.

Jika sabit kesalahan atas pelbagai tuduhan, Egbo dan wanita itu berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup. - AFP

No comments:

Post a Comment