Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Kembalikan suami saya



AYER TAWAR – Kehidupan Rasilah Ibrahim, 43, dan keluarga kian tersepit, sehingga tidak mampu membeli barangan keperluan harian, semenjak suaminya, Ismail Nik Alias, 52, ditahan pihak berkuasa Thailand, empat bulan lalu.

Rasilah berkata, suaminya ditahan atas kesalahan tidak memiliki pas lawatan dan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan Ismail yang menjalankan perniagaan berasaskan ayam.

Menurut Rasilah, suaminya ditahan ketika hendak menjual kaki ayam kepada peniaga di negara itu.

“Suami saya kini ditahan di Pusat Tahanan Natawi dan saya difahamkan makanan yang disediakan pihak berkuasa di sana ada kalanya berasaskan daging babi.

“Saya tidak sanggup mendengar suami saya makan seperti, juga melihat keadaannya dalam tahanan, dan kerana itu saya membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar, agak tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya kepada Sinar Harian.

Rasilah difahamkan pihak berkuasa Thailand, suaminya boleh dibebaskan setelah membayar denda sebanyak RM35,000 dalam tempoh terdekat.

“Sebagai suri rumah, saya tentu sekali tidak mampu untuk membayar denda itu dan saya memohon agar ada pihak yang sudi membantu membebaskan suami saya dari pusat tahanan itu.

“Kami memang sangat memerlukan suami saya saat ini bagi menyelesaikan kesulitan sekeluarga yang kini hanya berharap ihsan jiran tetangga,” katanya.

Katanya, punca pendapatan keluarga terputus semenjak Ismail ditahan, sedangkan dia terpaksa menyara dua anak mereka termasuk menanggung persekolahan salah seorang anaknya.

“Anak sulung kami baru sahaja mendapat kerja dengan gaji RM600 sebulan, manakala saya sendiri sedang berusaha mencari kerja untuk menampung keperluan sekeluarga.

“Bil elektrik telah tertunggak hingga empat bulan, dan pernah dipotong sebelum ini,” katanya.

Rasilah berkata, dia kini risau rumah kediamannya akan diambil balik pihak bank dan dalam masa sama, buntu memikirkan sumber kewangan untuk membebaskan suaminya. 

No comments:

Post a Comment