Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Keldai dadah: Polis selamatkan dua wanita


SHAH ALAM — Polis menyelamatkan dua pelajar wanita sebuah kolej daripada dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket antarabangsa yang didalangi dua lelaki warganegara Nigeria dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Puchong dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 2 pagi itu, polis menemui dua wanita berusia 21 tahun berkenaan yang dikurung dalam sebuah bilik di pangsapuri berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam ketulan kapsul dan dua paket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin gred tinggi seberat 372 gram bernilai RM28,000.
Polis turut menemui satu ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 70 gram bernilai RM700,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dua lelaki warganegara Nigeria berusia 27 dan 28 tahun yang merupakan pelajar sebuah kolej berhampiran itu memperdayakan mangsa dengan menawarkan percutian secara percuma ke Macau, China. — Bernama

No comments:

Post a Comment