Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Kekacauan agama di Mesir



ORANG ramai memerhati pasukan bomba memadamkan kebakaran pada bangunan gereja selepas pergaduhan antara orang Islam dan Kristian di Kaherah, Mesir, kelmarin. - AFP


KAHERAH 8 Mei - Pertempuran antara penduduk Islam dan Kristian di ibu negara Mesir ini semalam menyebabkan 10 orang maut dan lebih 186 lagi cedera dan sebuah gereja terbakar.
Kedua-dua kumpulan itu bertempur selepas penduduk Islam menyerang gereja Kristian Qibti, Saint Mena di Imbaba untuk membebaskan seorang wanita yang didakwa ditahan kerana telah memeluk agama Islam.
Sekurang-kurangnya lima yang maut dalam serangan lewat petang semalam ialah orang Kristian Qibti.
Di luar gereja itu, polis tentera menempatkan beberapa kereta berperisai untuk menyekat kemaraan penunjuk perasaan Islam.
Mereka melepaskan tembakan ke udara sementara penganut Kristian di hadapan gereja dan penduduk Islam tidak jauh dari situ membaling batu ke arah satu sama lain.
Penduduk Islam cuba menggempur gereja tersebut awal semalam, dengan mendakwa penganut Kristian menahan seorang wanita Islam.
Di satu sekatan polis di luar gereja St Mena, penduduk Islam berkata, penduduk Kristian mula melepaskan tembakan ke arah mereka setelah mereka cuba mencari seorang wanita Kristian yang memeluk agama Islam dan ditahan di dalam gereja.
"Mereka mula melepaskan tembakan ke arah kami sedangkan kami memprotes secara aman," kata seorang penduduk Islam, Mamduh.
Mufti Mesir, Ali Gomaa mengutuk keganasan yang menggugat keselamatan Mesir itu.
"Keganasan itu tidak mungkin disebabkan golongan beragama yang memahami agama masing-masing, sama ada Islam atau Kristian," katanya kepada agensi berita MENA- AFP

No comments:

Post a Comment