Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Gerakan mencari diteruskan



KUALA PILAH – Operasi mencari kanak-kanak yang dihanyutkan arus deras di Hutan Rekreasi Ulu Bendul, di sini giat diteruskan pada hari keenam, semalam yang turut dibantu penduduk kampung.

Lebih 150 orang terlibat dalam operasi berkenaan yang turut disertai anggota keluarga dan saudara mara mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, setakat ini, dua kumpulan besar diwujudkan melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Ikatan Relawan Rakyat (Rela), unit anjing K9 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat melibatkan kawasan sungai serta tebing untuk mencari mangsa, Nur Syaza Sakinah Syed Ahmad, 2.

“Semalam (kelmarin) kita meneruskan operasi mencari mangsa dan masih belum dijumpai dalam dua kumpulan besar.

“Kumpulan pertama memberi tumpuan kawasan yang ada petunjuk, sehingga kita puas hati. Kemudian, kumpulan kedua ikut sungai dengan mengambil pendekatan menggunakan kayak sehingga 11 kilometer.

“Sehingga semalam (kelmarin), kita masih belum menjumpai jasad mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Rekreasi Ulu Bendul, di sini semalam.

Jaafar berkata, operasi mencari untuk hari keenam memakan jarak sehingga lima kilometer yang turut disertai anggota sedia ada, penduduk kampung dan ahli keluarga mangsa.

Katanya, operasi juga berdepan dengan tahap kesukaran tidak dijangka.

“Di dalam kawasan taman rekreasi ini bersih dan mudah untuk kita mencari, tetapi tiba kawasan luar, agak sukar kerana kita terpaksa berhadapan dengan semak-samun, rumput dan akar menjalar di dalam sungai. Kerana itu, kita perlukan tenaga kerja banyak.

“Walaupun kita menghentikan seketika operasi mencari pada 7 malam, masih ada anggota terlibat, iaitu mereka lebih profesional,” katanya.

Jaafar berkata, khidmat kaunseling dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Pilah juga diberikan kepada keluarga mangsa untuk menghadapi sebarang kemungkinan sewaktu proses pencarian mangsa yang masih belum ditemui.

No comments:

Post a Comment