Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Gegendang pecah: Buruh saman PDRM, kerajaan RM300,000



Muhammad Syahir Yusoff menunjukkan writ saman menuntut ganti rugi teladan dan kecederaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 8 Mei - Seorang buruh memfailkan saman ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM300,000 kerana mendakwa ditampar oleh seorang anggota polis dua tahun lalu sehingga menyebabkan gegendang telinganya pecah.
Dalam tuntutannya itu, Muhammad Syahir Yusoff, 20, menamakan 'seorang anggota polis tidak dikenali' sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Tumpat pada 2009 dan Kerajaan Malaysia masing-masing defendan kedua dan ketiga.
Plaintif dalam writ samannya yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, dengan ditemani peguam, Shaharuddin Mohamed, turut menuntut ganti rugi kecederaan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.
Muhammad yang berasal dari Kampung Baru Geting, Tumpat mendakwa, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang di Balai Polis Tumpat pada 16 Oktober 2009, dia telah ditampar beberapa kali oleh 'anggota polis tidak dikenali' itu ketika disiasat membabitkan satu kes berkaitan dadah.
Dakwanya, tindakan tersebut menyebabkan gegendang kedua-dua telinganya pecah dan kecederaan itu disahkan oleh seorang doktor di Hospital Tumpat, ketika menerima rawatan beberapa hari kemudian.
"Saya ditampar semasa disiasat kerana disyaki mengedar dadah, bagaimanapun dibebaskan pada hari yang sama kerana tidak ada bukti saya melakukannya dan ujian air kencing saya juga negatif daripada penggunaan dadah.
"Akibat ditampar, saya langsung tidak dapat mendengar selama beberapa hari sebab gegendang telinga pecah dan walaupun sudah pulih beberapa bulan kemudian, pendengaran saya kini tidak seperti dulu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia membuat satu laporan polis pada 26 Oktober 2009 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung tindakan anggota polis berkenaan.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, pihaknya masih gagal mendapatkan nama defendan pertama daripada pihak berwajib, meskipun anak guamnya telah membuat kawad cam.
Kegagalan pihak berkuasa itu dakwanya, menyebabkan anak guamnya lewat untuk memfailkan tuntutan di mahkamah.

No comments:

Post a Comment