Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

Gara-Gara Minta Lesen, Penguatkuasa JPJ Cedera Dibelasah



DUNGUN: Gara-gara meminta lesen untuk diperiksa, seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera di muka dan badan selepas dibelasah sekumpulan lelaki di Jalan Jerangau-Jabor, dekat sini semalam.
Menceritakan kejadian itu kepada media, di sini, Selasa, Ismail Daud, 45, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika beliau dan rakan setugas, Azman Ahmad melakukan sekatan jalan raya di depan Stesen Jambatan Timbang JPJ, Bukit Besi.
"Kami menahan sebuah kereta yang dinaiki tiga pemuda berusia lingkungan 20-an dan meminta pemandunya mengeluarkan lesen untuk diperiksa. Namun dia memberi alasan lesen itu dipegang bapanya yang menaiki sebuah kereta lain di belakang," katanya.
Ismail berkata beliau kemudian meminta pemandu itu menghentikan keretanya di tepi jalan, tetapi pemuda tersebut bertindak memecut kenderaannya.
"Saya bersama rakan kemudiannya mengekori kereta pemuda terbabit kira-kira 10 kilometer dan sampai berhampiran Ladang Gajah Mati, saya berjaya menahan keretanya dan sekali lagi meminta lesen memandu.
"Bagaimanapun remaja itu sekali lagi memberitahu lesen memandunya ada bersama ayahnya, dan selang beberapa minit kemudian sebuah kereta dipercayai dinaiki ayah pemuda itu tiba dan menghampiri kami," katanya.
Ismail berkata lelaki berusia 40-an itu menghampirinya sambil tersenyum sebelum menumbuk mukanya menyebabkan berlaku pergelutan yang kemudian disertai remaja tersebut dan dua rakannya.
Pada masa yang sama kata Ismail, sebuah lagi kenderaan yang dinaiki sekumpulan lelaki tiba di tempat kejadian dan menghalang rakan setugasnya daripada membantu beliau.
Akibat kejadian itu Ismail yang bertugas di Stesen Jambatan Timbang JPJ Bukit Besi, cedera di kepala, dahi, mulut dan bahagian rusuk.
Beliau kemudian dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik oleh seorang pengguna jalan raya sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan polis sedang mengesan kumpulan lelaki terbabit. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment