Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Gantung diri, minum racun




BUNTONG – Seorang lelaki ditemui tergantung di ruang tamu rumahnya di Taman Mas di sini, kelmarin dipercayai bertindak mahu membunuh diri.

Mayat M Vickneswaran, 38, ditemui jirannya sekitar 3 petang kelmarin, setelah mendapati rumah mangsa yang berkunci dalam keadaan mencurigakan.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 hingga 3 petang ketika isteri serta dua anak mangsa tiada di rumah.

Vickneswaran kemudiannya dikejarkan ke hospital namun, akibat komplikasi pernafasannya yang mungkin tersumbat akibat jerutan kuat di leher, dia meninggal dunia di hospital sekitar 4 petang semalam.

Ketika ditemui, abang mangsa, M Sundarajan, 54, berkata ahli keluarga agak terkejut apabila menerima berita kematian Vickeneswaran kerana mereka tidak pernah berselisih faham dan hubungan mereka sekeluarga juga dalam keadaan baik.

Katanya, kali terakhir dia melihat mangsa adalah pada perayaan Thaipusam lalu namun tidak sempat bertegur sapa kerana Vickneswaran dilihat berjalan agak jauh dari anak-anaknya dan mereka hanya berbual menerusi telefon untuk bertanya khabar.

“Saya sendiri tidak tahu apakah punca sebenar kematiannya (Vickneswaran). Mungkin dia mengalami masalah rumah tangga, tapi dia tak pernah ceritakan kepada kami.

“Dia juga tidak memiliki sebarang masalah dengan orang lain, atau pun berhutang dengan Ah Long,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, satu lagi kes bunuh diri dikesan di kawasan yang sama kelmarin dan kali ini ia melibatkan seorang wanita yang mengalami muntah-muntah setelah meminum racun.

Mangsa M Suppamah, 57, dipercayai meminum racun berkenaan sekitar 6 petang kelmarin, dan mangsa mati ketika dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan dua kejadian berkenaan.

Katanya, kedua-dua kejadian berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah tetapi dipercayai melibatkan tindakan membunuh diri.

“Hasil siasatan pihak forensik turut mengesahkan bahawa kematian kedua-dua mangsa tidak memiliki sebarang unsur jenayah dan kedua-dua kematian tersebut boleh diklasifikasikan sebagai bunuh diri,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment