Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Dua van hangus angkara khianat




KUANTAN – “Tergamam saya lihat dua van yang digunakan untuk menghantar batu nisan hangus terbakar,” kata Md Khalidi A Rahman, 53.

Menurutnya, dalam kejadian 15 Mei lalu, dia diberitahu anaknya bahawa van miliknya itu sudah hangus, manakala sebuah lagi hanya terbakar sebahagian sahaja dan berjaya.

Md Khalidi berkata, dia tidak percaya kejadian seumpama ini menimpa dirinya kerana dia sememangnya tidak mempunyai musuh.

“Saya mempunyai empat van dan tiga daripadanya diletakkan berhadapan kedai batu nisan ini serta sebuah lagi dihantar ke bengkel. Dua daripadanya rentung dan mujur satu lagi masih boleh diselamatkan,” katanya.

Selain itu, isteri mangsa, Jalilah Ibrahim, 46, kesal dan sedih dengan kejadian yang menimpa mereka.

Menurutnya, berniaga batu nisan ini bukan semua orang boleh buat dan saya bersama suami tekad membuka perniagaan ini yang sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada diri sendiri mengenang hari kematian masing-masing.

“Van yang terbakar itu adalah sumber penyambung rezeki kami untuk menghantar batu nisan ke serata tempat dalam negeri ini.

“Bagaimanapun, saya reda kerana mungkin ini ujian daripada Allah SWT kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Jalilah menjelaskan mengikut kata seorang saksi, dia melihat dua orang menaiki motosikal berlegar di hadapan kedai milik Md Khalidi seterusnya membaling satu objek seperti botol ke arah van sebelum mendengar bunyi letupan besar.

“Tidak tahu apa salah kami ini, namun saya harap mereka menerima balasan setimpal.

“Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku, Alhamdulillah kami selamat,” katanya.

Sementara itu, nasib pasangan ini mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Syafik Fauzan Sharif.

Menurut Syafik, beliau kesal dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan periuk nasi orang lain terjejas dan berharap si pelaku menerima hukuman setimpal.

“Oleh itu, saya akan mencari satu kawasan baru supaya mereka dapat memulakan perniagaan baru.

“Mungkin, kedai yang sedia ada ini akan dijadikan pameran untuk pelanggan melihat batu nisan yang dihasilkan dan tempat pembuatan batu nisan akan diikhtiarkan di tempat lain.

“Hanya itu yang boleh saya bantu memandangkan pekerjaan mangsa ini adalah satu kerja murni dan jarang diusahakan orang lain,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment