Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Dua lori bertembung, seorang maut




KUANTAN - Seorang pemandu lori bersama dua penumpangnya bernasib baik apabila lori yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori lain yang terbabas dipercayai akibat hilang kawalan di Kilometer 17 Jalan Lipis - Merapoh dekat Lipis, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 7.05 petang itu, ketika-tiga mereka hanya mengalami kecederaan ringan bagaimanapun pemandu lori yang merempuh mereka, K Manogaran, 41 dari Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, Manogaran yang memandu lori satu tan jenis Toyota itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Lipis ke Merapoh.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi nahas, lori yang dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum masuk semula ke laluannya.

“Bagaimanapun lori terbabit tersasar hingga memasuki laluan bersebelahan dan bertembung dengan lori jenis Isuzu yang dinaiki tiga lelaki yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Menurutnya, punca kemalangan dipercayai akibat terbabas dan hilang kawalan.

“Kemalangan berlaku di satu laluan lurus bagaimanapun keadaan cuaca gelap dan permukaan jalan licin selepas hujan,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment