Search This Blog

Sunday, May 1, 2011

Dua lelaki maut kemalangan



RAUB – Dua lelaki maut akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan setelah terlibat dalam kejadian kemalangan berasingan, kelmarin.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kejadian pertama melibatkan seorang pemuda berasal dari Rantau Panjang.

Menurutnya, mangsa, Mohd Hasnizam Hasdi, 30, menunggang motosikal Yamaha RXZ 125 dalam perjalanan daripada Kota Bharu ke Port Dickson.

“Pada jam lebih kurang 12.45 tengah hari di kilometer 357 Jalan Raub – Bentong, mangsa gagal mengawal motosikal akibat tayar pancit lalu terbabas.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Nazlan berkata, kejadian kedua pada jam lebih kurang 2.15 petang di Kilometer 343 Jalan Raub – Lipis melibatkan pemandu kereta Datsun yang gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Menurutnya, mangsa, Lo Hoi Su, 64, dari Taman Seri Raub, Sempalit dalam perjalanan dari Lipis ke Raub bersama seorang cucu lelaki dan seorang cucu perempuan.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa terbabas dan mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

“Kedua-dua cucunya pula mengalami ke cederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Raub,” katanya.

No comments:

Post a Comment