Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Dua beradik ditahan



KOTA BHARU – Sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menahan dua beradik bersama komponen daripada 14 motosikal dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Batu 6, Pengkalan Chepa, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abdul Rafar berkata, serbuan hasil maklumat orang ramai dan hasil siasatan polis kira-kira jam 2.20 petang Jumaat lalu, turut menemui komponen motosikal yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

“Semua motosikal yang ditemui sudah dileraikan, kita tidak menemui motosikal yang lengkap dan kita percaya ianya dijadikan sebagai alat ganti untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada orang lain.

“Kita percaya kegiatan ini dilakukan antara tiga hingga empat bulan lalu, kami juga akan menyiasat kemungkinan terdapat rakan-rakan suspek lain yang terlibat dalam kegiatan geng motor ini,” katanya pada sidang media di IPD Kota Bharu di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pelajar yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah.

Menurutnya, mereka kini ditahan reman sehingga 9 Mei nanti untuk siasatan di bawah Seksyen 379A/411 Kanun Keseksaan.

Polis juga katanya, akan memanggil keluarga suspek untuk mendapatkan keterangan kerana semua komponen motosikal ditemui di kawasan rumah mereka.

Idris berkata, sebanyak 513 kes motosikal hilang dilaporkan di Kota Bharu dari Januari sehingga kelmarin.

“Kita sudah membuat 20 tangkapan setakat ini dan menyelesaikan 19 kes kecurian motosikal yang merupakan kes jenayah paling tinggi di Kota Bharu,” katanya.

Justeru katanya, polis meminta orang ramai terus memberikan maklumat berhubung kegiatan jenayah tersebut.

No comments:

Post a Comment