Search This Blog

Thursday, May 5, 2011

Dipenjara 10 bulan miliki dadah



GEORGETOWN - Seorang peniaga diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis amphetamine seberat 3 gram dan methamphetamine seberat 1.1 gram pada 18 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Nizam Mohd Nassir, 29, dari Jalan Thorpe di sini turut dikenakan hukuman penjara lima bulan dan perintah pengawasan selama dua tahun selepas dia mengaku bersalah mengambil dadah jenis yang sama pada hari dia ditahan.

Dalam pertuduhan pertama, Mohd Nizam bersama dua lagi rakannya didakwa memiliki dadah jenis amphetamine dan methamphetamine yang ditemui dalam kotak rokok dan poket tempat duduk belakang keretanya semasa diperiksa polis dalam sekatan jalan raya Ops Bayan di Jalan Sultan Azlan Shah, Jelutong di sini kira-kira jam 1.30 pagi.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa memasukkan ke dalam tubuhnya dadah jenis amphetamine dan methamphetamine iaitu dadah berbahaya yang ditetapkan di bahagian 111 Dari Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 Pindaan 1998.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

Bagaimanapun, Majistret Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman dijalankan serentak dari tarikh ditangkap selepas mendengar rayuan yang dibuat tertuduh.

Mohd Nizam dalam rayuannya meminta hukuman diringankan disebabkan dia memiliki isteri dan empat anak yang masih bersekolah perlu ditanggung.

Selain itu, Mohd Nizam berkata, dia menyesali dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

No comments:

Post a Comment