Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Dibelasah lima lelaki




SEREMBAN – Seorang suami terpaksa terlantar di hospital akibat dibelasah lima lelaki, Ahad lalu selepas dikatakan enggan menceraikan isterinya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Musa (bukan nama sebenar), 41, cedera teruk di mata, muka, siku serta disahkan terdapat darah beku pada kepalanya.

Musa berkata, kejadian berlaku apabila dia dan isteri mahu berbincang secara baik mengenai hubungan mereka sebelum dipanggil ke Mahkamah Syariah, 25 Mei ini.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka isteri saya membawa keluarganya sekali. Kira-kira lapan orang ahli keluarganya datang menyertai perbincangan tersebut.

“Pada masa itu, isteri mendakwa dia sudah tiada perasaan dengan saya lagi. Saya redha dengan keputusannya itu, namun selepas saja selesai perbincangan itu, tiba-tiba adik ipar saya datang bersama rakan-rakannya dan terus membelasah saya bertubi-tubi,” katanya.

Musa berkata, semasa kejadian, dia dibelasah tidak kurang lima lelaki menggunakan kerusi dan meja kedai makan tempat mereka berbincang.

“Saya sempat melawan tetapi kerana bilangan mereka membelasah saya terlalu ramai, saya hanya berserah dan berdoa dalam hati supaya selamat.

“Mujurlah pada waktu itu ada orang ramai yang meleraikan pergaduhan dan terus menghubungi polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini semalam.

Musa berkata, sejurus selepas kejadian malang itu, sebuah kereta peronda polis datang membantunya membawa ke hospital.

Menyingkap kembali peristiwa, Musa berkata, dia berkahwin dengan isterinya atas aturan keluarga mentuanya yang mahukan dia mengahwini anak perempuan mereka.

Namun, katanya, isterinya mengadu kepada keluarga mentua berikutan sedikit perselisihan faham antara mereka berdua.

“Perselisihan faham biasa berlaku dalam perkahwinan tetapi tidak sangka pula saya didesak menceraikan isteri sendiri.

“Saya tak sangka, hanya kerana enggan menceraikan isteri, saya telah dipukul oleh keluarga mereka. Apa salah saya sehingga diperlakukan begini?” kata bapa kepada tiga anak itu.

Musa berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menceraikan isterinya kerana menganggap hubungan mereka masih boleh diselamatkan.

Berikutan kejadian itu, Musa bercadang untuk membuat laporan polis sebaik saja dia keluar dari hospital nanti.
SH

No comments:

Post a Comment