Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Cubaan seludup 41.8 tan minyak masak gagal


NAZARRUDIN (kiri) menunjukkan minyak masak yang akan dieksport.

NAZARRUDIN (kiri) menunjukkan minyak masak yang akan dieksport.

PELABUHAN KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mematahkan percubaan menyeludup 41.8 tan metrik minyak masak ke luar negara selepas menahan sebuah lori di pekarangan sebuah kilang di Bandar Armada, di sini, kelmarin.

Lori itu ditahan pada jam 11 pagi dalam satu operasi diketuai Timbalan Ketua Pengarah KPDNKK Putrajaya, Iskandar Halim Sulaiman ketika dua lelaki memindahkan tong minyak masak ke dalam lori di kilang berkenaan.
Operasi membabitkan nilai rampasan RM170,000 turut disertai pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Penolong Pengawal Bekalan KPDNKK Putrajaya, Nazarrudin Zainudin, berkata operasi itu diadakan selepas meneliti laporan daripada sebuah syarikat minyak yang diterima pada 2 Mei lalu dan mendapati ada sesuatu yang tidak kena.

"Syarikat itu tidak sepatutnya menerima minyak masak bersubsidi dan kami sedang menyiasat bagaimana perkara ini boleh berlaku," katanya ketika ditemui selepas mengadakan operasi di situ.

Mengikut harga semasa minyak masak di pasaran, ia dijual pada harga RM3,500 untuk satu tan metrik, manakala nilai subsidi kerajaan bagi satu tan metrik minyak masak ialah RM1,700.

Nazarrudin berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada tiga orang yang berada di kilang berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya, operasi bersepadu itu dimulakan sejak tahun lalu untuk mengekang masalah bekalan minyak masak tidak mencukupi di negara ini.

Difahamkan, syarikat minyak masak itu sudah lima tahun beroperasi dan pernah mempunyai beberapa rekod kesalahan tetapi pihak kementerian tiada bukti mencukupi untuk mendakwa syarikat berkenaan di mahkamah.

Syarikat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan didenda tidak melebihi RM250,000 jika sabit kesalahan. 

No comments:

Post a Comment