Search This Blog

Tuesday, May 31, 2011

Burung dilindungi dirampas



KUALA LUMPUR 30 Mei - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Lumpur merampas 10 ekor burung yang dilindungi dari sebuah rumah kedai di Taman Selayang Baru hari ini.
Burung yang dirampas itu ialah tujuh ekor merbah telinga merah, kenari dada kuning (2) dan seekor burung cakar.
Burung itu ditemui disembunyikan di premis berkenaan selepas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor Cawangan Gombak menyerbu ekoran maklumat terdapat kegiatan menyimpan sebanyak 1,200 liter diesel subsidi.
Perhilitan Kuala Lumpur yang hadir kemudian mengesahkan 10 ekor burung terbabit adalah daripada spesies yang dilindungi.
Pegawai Penguat Kuasanya, Celesoriano Razond berkata, pihaknya mendapati dua daripada tiga jenis burung itu adalah spesies terancam.
"Burung kenari dan cakar merupakan spesies antarabangsa yang semakin terancam dan berikutan itu, pemilik yang tidak mempunyai lesen bakal berhadapan denda sehingga RM1 juta.
"Merbah telinga merah yang merupakan spesies tempatan pula adalah burung yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, dalam pemeriksaan di rumah kedai dua tingkat itu, pihaknya menemui enam tong diesel yang disimpan kononnya untuk kegunaan sebuah trak angkut susun.
"Hasil ujian nanotag, kesemua tong tersebut berisi diesel subsidi. Pemiliknya diminta mengemukakan surat kebenaran menyimpan diesel," katanya.
Utusan Malaysia Online - Kota

No comments:

Post a Comment