Search This Blog

Monday, May 9, 2011

Broker ke tali gantung




Airiy Azmi Mohamad selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 8 Mei - Seorang broker kenderaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.91 kilogram, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Airiy Azmi Mohamad, 31, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
"Saya dapati pembelaan tertuduh tidak munasabah serta tidak boleh diterima jadi tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," kata Mohd. Zaki.
Mengikut pertuduhan, Airiy didakwa mengedar dadah tersebut di Lorong 2, Unit Pemeriksaan dan Kemudahan Penumpang, Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 17 April 2009.
Ketika ditahan, sebanyak 65 ketulan kanabis ditemui di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan serta bahagian simpan tayar di but belakang kereta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Suhaimi Nik Sulaiman sementara tertuduh diwakili peguam, R.S.N. Rayer.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berasingan, seorang nelayan dan penganggur terlepas daripada hukuman gantung selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah.
Ismail Che Mat, 36, yang bekerja sebagai nelayan dipenjara selama tujuh tahun enam bulan serta 10 sebatan selepas mengaku salah memiliki heroin dan monoacetylmorphines seberat 23.25 gram di laluan Kuala Perlis, Jetty Point, Langkawi pada 29 April tahun lalu.
Sementara itu penganggur, Mohd. Rofidi Karim, 38, pula dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan selepas didapati bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah heroin dan monoacetylmorphines seberat 19.9 gram di rumah tidak bernombor di Kampung Charuk Kudung, Pendang pada 6 Mei 2009.
Bagi satu lagi pertuduhan iaitu memiliki 4.39 gram methamphetamine di lokasi sama, Mohd. Rofidi dihukum penjara tiga tahun. Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan diarahkan supaya berjalan serentak.
utusan

No comments:

Post a Comment