Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Bahang panas penyelamat





HUTAN MELINTANG - Bahang panas secara tiba-tiba menyelamatkan seorang warga emas Chan So So, 79, daripada rentung apabila kediamannya hangus dalam satu kebakaran di Jalan Tepi Sungai, awal pagi, semalam.



Ketika kejadian, So So sedang tidur dan dia terkejut melihat rumah sewa berusia 50 tahun itu terbakar sebelum berlari keluar dari rumah.



“Ketika saya berlari ke arah pintu rumah, saya terdengar ketukan meminta saya keluar kerana deretan kedai sudah terbakar.



“Saya juga tidak sempat menyelamatkan barang kerana api terlalu marak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.



Seorang mekanik, Heng Cheng Wai, 21, berkata, dia mengalami kerugian lebih kurang RM50,000 apabila kesemua peralatan bagi membaiki bot nelayan, hangus terbakar dalam kejadian itu.



Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang tidur di rumahnya di kawasan Hutan Melintang dan menerima panggilan daripada seorang kawan kira-kira jam 5.30 pagi semalam, sebelum bergegas ke kedai itu.



“Kedai yang saya sewa sejak setahun lalu itu tiada penghuni dan saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang perniagaan,” katanya.



Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tapah, Omar Koyakutty, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.04 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.12 pagi.



Menurutnya, pihaknya berjaya mengawal api dalam masa 10 minit dan kebakaran itu memusnahkan tiga rumah kedai yang dijadikan bengkel memperbaiki peralatan bot serta sebuah kedai dijadikan rumah kediaman .



“Sebanyak dua jentera dan sebuah van bersama 20 anggota dari Hutan Melintang serta Teluk Intan dikejarkan ke tempat kejadian.



“Setakat ini tiada, tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun, jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM280,000.



“Punca kebakaran itu masih dalam siasatan pihak kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment