Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

Angkut ganja, heroin guna van tadika




KLANG – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) begitu licik apabila menjadikan van sekolah membawa kanak-kanak tadika sebagai tempat menyembunyikan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggannya di sekitar Pelabuhan Klang.

Anggota itu adalah antara tujuh suspek ditahan polis dalam Ops Tapis pada 11 dan 12 Mei lalu bersama rampasan dadah ganja dan heroin bernilai kira-kira RM24,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggota Rela berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan sebuah tadika di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari, Khamis lalu.

Beliau berkata, serbuan dibuat selepas polis menjalankan intipan selama seminggu dan memperoleh maklumat bahawa anggota Rela itu turut bekerja sebagai pemandu van tadika.

“Ketika ditahan suspek yang aktif mengedar dadah secara individu itu sedang menunggu kanak-kanak tadika terbabit.

“Pemeriksaan lanjut menemui 110 paket heroin seberat 172.18 gram yang disembunyikan di bawah alas kaki pemandu dalam kenderaan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati harga satu paket dadah itu mencecah RM80 dan bekalan diperoleh dari negara luar untuk dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah itu RM12,000 dan keputusan ujian saringan awal air kencing menun-jukkan suspek positif dadah.

Dalam kejadian berasingan pada 11 Mei lalu, Mohamad berkata, enam lagi suspek, masing-masing empat lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang warga Indonesia ditahan kira-kira jam 10 pagi di sebuah rumah di Taman Selatan, di sini.

Beliau berkata, bersama tangkapan itu, polis merampas 3.4 kilogram ganja bernilai RM12,000 dalam premis disewa keenam-enam suspek itu.

“Dadah itu diperoleh dari suspek warga asing untuk edaran pasaran tempatan sekitar kawasan terbabit.

“Semua suspek berusia antara 31 hingga 41 tahun itu tidak mempunyai tali persaudaraan, hanya wanita warga Indonesia itu dikenal pasti sebagai isteri kepada seorang daripada suspek ditahan,” katanya.

Menurutnya, enam suspek ditahan reman bermula tangkapan sehingga esok, manakala anggota Rela direman sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
SH

No comments:

Post a Comment