Search This Blog

Sunday, May 1, 2011

Angkara muatan berlebihan



LINGGI – Hasrat seorang remaja, Mohd Haimi Hasnan, 18, yang dalam perjalanan ke Telok Kemang untuk bertemu rakannya tidak kesampaian apabila terlibat dalam satu kemalangan sekitar jam 8.30 malam, kelmarin.

Mangsa menunggang motosikal bersama seorang rakannya, Amirul Farhan Md Shah, 17, dari arah Pasir Panjang ke Telok Kemang terpelanting selepas bertembung dengan sebuah treler lebihan muatan dari arah bertentangan.

Abang mangsa, Awalluddin Maani, 42, berkata, adiknya menunggang motosikal itu dan sebaik tiba di Batu 9 Jalan Pantai Pasir Panjang-Telok Kemang dia bertembung dengan sebuah treler panjang yang membawa muatan paip plastik PVC (Polyvinil Cloride).

Menurutnya, treler itu membawa muatan secara berlebihan dan paip yang terjulur di bahagian depan itu melibas adik saya mengakibatkan dia tertolak ke belakang dan jatuh sementara motosikalnya terbabas terus ke hadapan.

“Paip itu melibas bahagian dada adik saya mengakibatkannya mengalami kecederaan parah.

“Dia terus dia dibawa ke Hospital Port Dickson sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Awalluddin berkata, adiknya berada di dalam keadaan kritikal dan doktor memaklumkan adiknya mengalami kecederaan parah di bahagian paru-paru.

“Manakala, Amirul Farhan hanya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, treler itu ditahan di Jalan Pengkalan Kempas sekitar jam 9 malam, kelmarin.

Menurutnya, treler itu didapati membawa muatan berlebihan dan dipandu dalam keadaan berbahaya.

“Pemandu treler yang juga seorang lelaki berusia lingkungan 50an itu di saman polis atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan memandu dalam keadaan berbahaya.

“Polis kemudian mengeluarkan arahan agar pemandu itu menyediakan sebuah lagi treler lain bagi membawa muatan berlebihan tersebut.

“Sebelum itu, paip dipotong dua bagi mengelakkan muatan berlebihan dan mengganggu keselamatan pengguna lain.

“Bagaimanapun, untuk sementara waktu, treler itu ditahan polis,” katanya.

Katanya, kesalahan lalu lintas boleh mengundang bahaya dan mengancam nyawa, malah pihaknya juga tidak akan bertolak ansur kepada pengguna yang ingkar dengan peraturan itu.

No comments:

Post a Comment