Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

ADUN dakwa duit MBI lesap



IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam bertindak membuat laporan polis kerana mendakwa wang peruntukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menurap jalan bagi tahun 2008 hingga 2011 di kawasan pentadbiran MBI itu hilang.

Subramaniam berkata, Kerajaan Negeri ada menyatakan peruntukan berjumlah RM68.5 juta telah disediakan pihak MBI untuk kerja-kerja penurapan jalan.

Menurutnya, namun sehingga kini kebanyakan kawasan Buntong masih tiada sebarang penurapan jalan dilaksanakan sebaliknya hanya penampalan kecil sahaja.

“Kebanyakan jalan di kawasan Buntong di tahap yang tidak memuaskan, berlubang dan tidak diselenggara sepenuhnya bagi tempoh masa yang lama,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini, semalam.

Beliau berkata, penampalan kecil tidak dapat bertahan lama dan ia kerap menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya.

“Jadi, saya berasa tidak puas hati dan tertanya-tanya di mana peruntukan yang telah disediakan dan ia masih tidak digunakan secara keseluruhannya.

“Dalam Local Agenda 21 telah dinyatakan sejelas-jelasnya peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mesti mengkaji dan menerima pandangan rakyat untuk mengatasi masalah setempat,” katanya.

Katanya, bagaimanapun saranan itu tidak diambil kira pihak MBI terutama dalam kes ini.

“Keadaan tersebut menunjukkan tidak ada kerjasama pihak pengurusan tertinggi MBI dan Ahli-ahli Majlis menjalankan tugas untuk memastikan aduan, pandangan dan masalah rakyat di kawasan pentadbirannya di atasi demi kepentingan bersama.

“Peruntukan sebanyak itu, adalah wang rakyat dan wang berkenaan perlulah digunakan sama rata bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment