Search This Blog

Sunday, May 29, 2011

Abang hilang selera makan




KUANTAN - Seorang lelaki lumpuh berusia 40 tahun rentung dalam satu kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah rumah kayu di Batu 4, Jalan Sungai Lembing kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa, Nazri Ismail yang hanya mampu menggerakkan tangan kirinya terlantar sejak tiga bulan lalu tinggal sendirian di rumah pusaka keluarganya.

Adiknya, Azhar Ismail, 37, tidak menyangka pertemuan petang kelmarin ketika menghantar makanan adalah pertemuan terakhir mereka sebelum tragedi itu menimpa abangnya semalam.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi oleh seorang rakan dan terus bergegas ke rumah abangnya.

“Sebaik tiba, saya lihat api sedang marak. Tidak ada apa yang boleh kami lakukan untuk menyelamatkannya. Tong gas juga meletup. Dia ditemui rentung separuh badan di biliknya,” katanya yang bekerja di kilang kira-kira satu kilometer dari rumah abangnya.

Nazri berkata, setiap hari dia akan menghantar makanan dan minuman untuk abangnya pada setiap waktu makan dan kali terakhir mereka bertemu, abangnya tidak banyak bercakap dan tidak lalu makan.

“Saya perasan dia tidak lalu makan sejak beberapa hari lalu tetapi tidak menyangka kejadian ini menimpanya,” katanya.

Azhar berkata, sebelum ini, abangnya yang masih bujang menjaga rumah pusaka itu dan bekerja di syarikat pembalakan.

Bagaimanapun, selepas Nazri dibenarkan pulang, dia dihantar semula di rumah itu namun mereka sekeluarga sentiasa menjenguk dan mengambil perhatian mengenai keadaan abangnya.

Jenazah Allahyarham Nazri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kawah sebaik sahaja selesai bedah siasat dijalankan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Suhaimi Ahmad berkata, bomba menerima panggilan jam 10.37 pagi dan tiba 20 minit kemudian.

Katanya, satu jentera bomba dan sepuluh anggota bergegas ke tempat kejadian termasuk dua anggota sukarela dari Sungai Lembing.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api sudah kecil dan bomba menemui mayat Nazri yang rentung dua minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Punca dan kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Sohaimi Mohamed Shah yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima berita berkenaan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi kehilangan itu.

“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga itu dan saya berusaha untuk menyalurkan bantuan wang ihsan kepada ibunya yang kini tinggal di rumah adiknya yang lain di kampung Kawah,” katanya yang turut memberi sumbangan peribadi.

Hadir sama melawat dan memberikan kata-kata semangat dan menghulurkan sumbangan peribadi kepada Azhar ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.
SH

No comments:

Post a Comment