Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

3 rakyat Malaysia selamat





MOHD. Khairun Aseh (kiri) bercakap kepada pemberita sambil diperhatikan Rimban anak Mawang (dua dari kiri), Rose Rimban, Richi Ebet dan Jeri anak Ebet pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Fauzi Baharudin


KUALA LUMPUR 9 Mei - Akibat tertarik untuk mendapat kerja bergaji lumayan di luar negara, tiga bersaudara menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pekerjaan sehingga dikurung oleh majikan mereka di sebuah rumah kerana dikatakan tiada permit kerja.
Lebih malang lagi, Rimban anak Mawang, 49, dan adik iparnya, Jeri anak Ebet, 47, serta anak Jeri iaitu Richi, 23, terpaksa menahan lapar dengan memakan buah pinang dan ubi bakar sepanjang 17 hari menjadi tahanan di Kimbe, Papua New Guinea.
Bagaimanapun, nasib mereka baik apabila tindakan pantas Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan pejabat Kedutaan Malaysia yang menerima aduan daripada anak Rimban iaitu Rose, 26, berjaya menyelamat dan membawa pulang ketiga-tiga mereka ke tanah air.
Ketiga-tiga mereka tiba di tanah air petang semalam melalui penerbangan dari Papua New Guinea ke Singapura dan seterusnya pulang ke Miri, Sarawak dengan pesawat dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada pukul 7.45 petang ini.
Pada sidang akhbar di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di sini, ketiga-tiganya bersyukur kerana dapat pulang ke tanah air dan berjumpa dengan keluarga.
Menurut Rimban, mereka mula bekerja di sebuah syarikat pembalakan Papua New Guinea pada Disember tahun lalu dengan majikan menghantar RM1,500 sebulan kepada keluarga masing-masing di Sarawak.
Bagaimanapun, jelasnya, sejak Mac lalu majikan tidak membayar gaji dan akhir bulan lalu mereka mula dikurung atas alasan tiada permit kerja.
"Saya tidak mampu bercakap banyak sebab terlalu gembira dapat berjumpa semula dengan keluarga. Di sana kami tidak dibenarkan keluar kerana ada pengawal yang memegang parang mengawasi kami," katanya sambil mengesat air mata.
Pengerusi biro berkenaan, Datuk Mohd. Khairun Aseh pula mahu kes berkenaan dijadikan pengajaran oleh mereka yang ingin bekerja di luar negara.
"Apa yang saya difahamkan, kes ini setakat ini hanya berlaku di Sarawak dan mangsa dijanjikan gaji mencecah RM10,000 oleh agensi pekerjaan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment