Search This Blog

Tuesday, May 10, 2011

3 maut kemalangan babit 9 kenderaan


BAHAU — Tiga lelaki terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga lori, tiga kereta dan tiga motosikal di simpang tiga berhampiran lampu isyarat Jalan Bahau-Mahsan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt. Mohd. Sabri Muhamad berkata, mereka yang mati di tempat kejadian ialah pemandu treler Abdul Halim Omar, 33, dan kelindannya, Nordin Amat, 45, kedua-duanya dari Labis, Johor, serta penunggang motosikal, seorang pelajar Kolej Komuniti Jempol, Muhammad Izwan Noorazman, 20, dari Taman Keramat, Kuala Lumpur.
"Mayat mereka dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini.
Mohd. Sabri berkata, dalam kejadian pada 11.20 pagi tadi, sebuah treler yang sarat dengan muatan kayu getah tiba-tiba merempuh dua buah lori kosong, tiga kereta, tiga motosikal dan sebuah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat itu kerana lampu merah.
Katanya akibat rempuhan itu, Abdul Halim dan Nordin yang tersepit dalam treler yang dinaiki mereka mati di tempat kejadian manakala Muhammad Izwan terperosok di bawah treler itu.
"Kemalangan itu dipercayai berpunca apabila pemandu treler berkenaan yang menurun jalan bukit di situ tidak dapat mengawal kenderaannya lalu merempuh semua kenderaan itu yang sedang berhenti di lampu isyarat tersebut,” kata Mohd. Sabri.
Katanya, lima orang yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Mereka terdiri Mohd Afiq Ghazali, 21, Muhd Faiz Mohd Nasaruddin, 26, dan Mohd Haidir Nordin, 20, kesemuanya dari Kolej Komuniti Jempol, serta Ariffin Ahmad, 50, dan Loh Kim Hoon, 34. — Bernama

No comments:

Post a Comment